Thursday, 31 July 2014

MUKADIMMAH

       Tujuan utama blog ini dibangunkan untuk menyempurnakan tugasan individu bagi subjek Kemahiran dan Gelagat Keusahawanan (BPME 2013). Saya diminta untuk memilih 2-4 orang tokoh usahawan yang berjaya hingga hari ini. Di dalam blog ini, saya perlu menceritakan latarbelakang usahawan, bagaimana usahawan membangunkan perniagaanya selain meletakkan artikel yang berkaitan dengan tokoh usahawan yang dipilih. oleh itu, saya telah memilih 3 orang tokoh keusahawanan yang berjaya menaikkan nama negara sehingga ke persada dunia antaranya Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, Tatparanandam Ananda Krishnan dan Irfan Khairi.
 
        ketiga-tiga tokoh keusahawanan ini membuka mata hati saya untuk mengatakan setiap insan didunia mempunyai kebolehan dan potensi yang cukup besar untuk menjadi seorang yang Berjaya. kejayaan yang dimiliki oleh tokoh keusahawanan ini disebabkan keyakinan dan semangat ingin Berjaya yang kuat. kekuatan dalaman dan luaran individu cukup membantu dan memotivasikan individu untuk bijak mencuri setiap peluang perniagaan yang terhiadang di depan mata. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, beliau mempunyai latar belakang keluarga yang susah dan tidak mempunyai pendidikan yang tinggi namun hasil usaha, semangat dan doa. beliau mampu mengubah kehidupan beliau sehingga mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Tatparanandam Ananda Krishnan, beliau seorang tokoh yang bijak mencuri peluang perniagaan dan berani mengambil risiko perniagaan bagi mengembangkan perniagaan beliau keperingkat lebih mencabar selain memiliki tenaga pekerja yang profesional. Manakala, Irfan Khairi pula seorang tokoh jutawan muda yang memiliki kemahiran dalam perniagaan online atau perniagaan atas talian. beliau, hanya perlu bekerja dari rumah dan mampu mendapat pendapatan yag lumayan.

Monday, 14 April 2014

3 faktor seseorang menjadi usahawan

Berikut 3 faktor utama orang jadi usahawan:
Kebebasan mengejar peluang baru

Peluang yang terbukan luas apabila terjun jadi usahawan merupakan faktor yang cukup penting untuk seseorang terjun menjadi usahawan. Sudah tentu mereka yang terjun berniaga terlebih dulu nampak peluang di hadapan lalu terus terjun untuk mendapatkannya.  Biasanya peluang pertama yang dilihat kemudiannya direbut akan disusuli pula dengan peluang-peluang lain yang baru. Ini perkara biasa apabila kita menjadi usahawan yang kerjanya mencari peluang. Apabila kita mencari, maka mudahlah untuk nampak.

Bertekad merealisasikan minat sendiri

Mengejar minat atau kecenderungan tersendiri tanpa rasa terkongkong atau terbatas juga merupakan satu lagi faktor orang jadi usahawan. Jika makan gaji, semua objektif telah ditetapkan oleh pihak atasan atau majikan. Kita hanya perlu menurutinya dan kalau nak kreatifpun mungkin sekadar terhad pada strategi atau kaedah untuk mencapai objektif sahaja. Bila kita bebaskan diri daripada ditentukan orang lain, maka kita sendirilah yang menentukan hala tuju terhadap apa yang kita minat, percaya atau yakin. Melakukan sesuatu yang diminati juga membuatkan susah payah tidak terasa. Ini juga amat membantu dalam menghadapi tempoh cabaran saat-saat mula menjadi usahawan sehingga berjaya.

Membebaskan diri dari rasa dikawal orang lain

Lumrah mereka yang bercita-cita tinggi dan bertenaga tidak gemar dirinya dikawal oleh orang lain. Ini juga merupakan salah satu ciri-ciri ketua yang degil dengan caranya tersendiri dan rasa tercabar apabila disuruh ke sana ke mari. Apabila tiada sesiapa yang mengawal, maka apa yang perlu dilakukan dan pada masa mana ianya perlu dilaksanakan menjadi hak kebebasan diri sendiri. Jika kita melakukannya adalah atas dorongan keputusan sendiri tanpa paksaaan. Masa yang fleksibel merupakan satu nikmat yang cukup berharga bagi mereka yang ada disiplin yang tinggi. Sebaliknya ia adalah satu masalah pada mereka yang tidak ada disiplin kerana tiadanya kawalan membuatkan manusia sering menangguh-nangguh apa saja yang penting yang perlu dilakukan.

7 ciri cemerlang orang positif

7 Ciri Cemerlang Orang Positif
Oleh Taidin Suhaimin

Artikel motivasi ini memaparkan ciri-ciri, sikap-sikap dan sifat-sifat atau jati diri cemerlang orang-orang (pemimpin / usahawan) yang positif / berjaya.


1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dalam kegawatan!
 
3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

Sesuai dengan kata-kata nasihat Paul Getty, seorang bilionaire Amerika bahawa untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, seseorang itu hendaklah membuat dua perkara ini:
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN! - Penjelasan  
4. Tidak Menyalahkan Keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangannya itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.
 
5. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bahawa, bila orang mengecam, tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.
 
6. Sentiasa Mencari Jalan Memperbaiki Diri
Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini mungkin hanya dinilai sebagai sederhana saja 10 tahun akan datang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya / kebajikan rakyatnya.

Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan Amerika Syarikat ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia."
7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus asa.
Orang yang positif memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan.

 

    keusahawanan sebagai pilihan kerjaya

    Keusahawanan Sebagai Pilihan Kerjaya

    Ditulis oleh Nor Hartini binti Saari.
         
    Bidang keusahawanan sudah lama wujud sebagai satu pilihan kerjaya. Sejak zaman Rasulullah SAW keusahawanan ini telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Islam. Malah kerjaya sebagai usahawan merupakan pilihan utama umat Islam khususnya pada awal kedatangan Islam. Tidak terkecuali Rasulullah SAW sendiri memilih untuk bergelar sebagai usahawan pada ketika itu. Keadaan ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa keusahawanan telah pun menjadi satu bidang kerjaya yang diceburi sejak dahulu lagi. 
     
    Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat kita kini lupa akan hakikat ini. Ini kerana mereka sentiasa menganggap bahawa kerjaya hanya melibatkan pekerjaan makan gaji dan ada majikan sahaja.Hakikatnya, keusahawanan tidak melibatkan majikan yang memberi gaji, tetapi sebagai usahawan mereka bertindak bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada dirinya dan turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
     
    Namun begitu, lebih kurang lima puluh tahun lalu, corak pembentukan sejarah negara kita telah menyebabkan berlakunya pengasingan dalam pemilihan kerjaya mengikut golongan etnik. Pada ketika itu, keusahawanan bukan merupakan satu pilihan kerjaya bagi kaum Bumiputera yang merupakan majoriti golongan masyarakat negara ini.
     
     Jika ada pun kaum Bumiputera yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya, hanya dalam bentuk kecil-kecilan atau pun kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan untuk mendapat kerja lain. Pada ketika itu, mereka yang menjadi ‘usahawan terpaksa' ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran terutamanya untuk mengharungi cabaran dan dugaan dunia perniagaan. 
     
    Begitu juga terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mempunyai kepercayaan seratus peratus apabila mendengar bahawa anak-anak mereka ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Ini disebabakan oleh peluang-peluang perniagaan yang tidak begitu menyerlah dan banyak pekerjaan lain yang lebih mudah didapati.
     
     Kebanyakan mereka berpendapat bahawa keusahawanan adalah sesuatu yang sukar, berisiko dan merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding jika bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan sektor kerajaan. Jaminan dari segi faktor kewangan dengan pelan pencen yang baik mahupun pelan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara menambah lagi keyakinan untuk mereka bekerja di dalam sektor awam itu.
     
    Namun begitu, apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, secara tidak langsung ia telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Berikutan itu, berbagai-bagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan Bumiputera.
    Penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
     
    Tambahan pula, Wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 yang menjurus kepada dasar-dasar kerajaan turut sama menggerakkan negara ke arah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar ini secara langsung telah meningkatkan lagi peluang-peluang keusahawanan dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera.
     
    Perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Begitu juga dengan institusi pengajian tinggi sudah pun mewujudkan Fakulti Keusahawanan, pusat keusahawanan dan subjek keusahawanan sebagai mata pelajaran teras. Ini adalah satu pendekatan baik yang dapat membuka minda mahasiswa dan mahasiswi tentang peluang besar yang menanti mereka yang berminat menjadi usahawan atas pilihan sendiri.
     
    Memandangkan ramai yang menjadi usahawan atas pilihan sendiri, kita menjangkakan bahawa mereka tentunya telah bersedia untuk berjaya sebagai usahawan. Hari ini cuba kita perhatikan, sudah banyak papan iklan dan iklan-iklan di stesen radio dan televisyen yang mula memperkenalkan produk Bumiputera ini.
     
    Perkembangan sebegini menyebabkan lebih ramai orang, terutamanya kaum Bumiputera yang mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Ia juga boleh mengikis pandangan negatif banyak pihak mengenai kerjaya usahawan.Justeru, bagi mereka yang memilih usahawan sebagai kerjaya pilihan, mereka perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih. Maklumat asas mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan perlu dikaji. Di samping melihat kepada pasaran yang disasarkan, persaingan serta maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran. Perkara asas ini dapat membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan.
     
    Pun begitu, pemilihan bidang perniagaan ini juga tidak boleh dilakukan secara semberono atau ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama.
     
    Oleh itu, jika keusahawanan menjadi pilihan kerjaya hari ini, maka berusahalah menjadikan kerjaya tersebut menyeronokkan dan memberi kesan positif kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

    Tuesday, 25 March 2014

    MENARIK tentang ANANDA KRISHNAN


           Tatparanandam Ananda Krishnan dilahirkan di Brickfields, KL pada 1hb April, 1938. Beliau merupakan bekas pelajar Harvard Universiti dalam jurusan MBA. Beliau merupakan salah satu calon top 3 jutawan Malaysia. Boleh dikatakan, setiap yang bergelar jutawan pasti terlibat aktif dalam dunia perniagaan. Maka tidak dapat dinafikan bahawa 9/10 rezeki terdapat dalam perniagaan.
     
    Kebijasanaan beliau mengurus pelbagai perniagaan telah membuka minda anak muda untuk menceburi dunia perniagaan hari ini. Seorang tokoh yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan diri sebagai seorang usahawan dan mempunyai cita-cita untuk berjaya. Ananda Krishnan memiliki kemahiran pengurusan yang baik dalam mengurus perniagaan beliau, Sifat kepimpinan yang terdapat dalam diri usahawan ini selari dengan matlamat dan visi perniagaannya. Ini adalah kerana sifat kepimpinan merupakan satu sifat yang amat penting bagi perkembangan sesebuah perniagaan antara bukti perniagaan besar beliau dikendalikan oleh kumpulan professional yang terdiri daripada mereka yang berkaliber dan hebat. selain itu, beliau juga menjalinkan hubungan yang baik dengan beberapa tokoh dan orang yang berpengaruh dalam negara antaranya Tan Sri Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi atas kebolehan untuk mencapai kejayaan. Kecenderungan ini membuatkan beliau sentiasa bersikap otimistik terhadap kejayaan yang akan beliau kecapi dan sikap ini berdasarkan kepada keadaan sebenar. Dengan mempunyai keyakinan dan optimistik yang tinggi, tidak hairanlah usahawan ini pernah gagal berkali-kali tetapi bangkit akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya di Malaysia dan pernah tersenarai orang paling kaya di dunia dengan menduduki tempat ke 147 pada tahun 2006.


    Kreatif dan inovatif adalah perkara utama yang perlu ada pada setiap usahawan untuk memperolehi kelebihan persaingan di dalam pelaburan. Melalui fikiran yang kreatif, inovatif dan daya imaginasi, beliau boleh menghasilkan keuntungan yang lumayan. Beliau
    bijak dalam mencari peluang yang ada dan mempunyai kebolehan untuk meraih peluang tersebut.
     
    Beliau terlibat dalam banyak perniagaan dan memiliki syer pasaran hampir sebahagian bahkan lebih dari 50%. Pada awal 1990-an, Ananda memulakan sebuah empayar multimedia yang kini termasuk maxis, sistem rangkaian siaran Measat dengan hak milik sebanyak 91% dan 100% bagi perniagaan Binariang Satellites Sistem Sdn Bhd. Ananda Krishnan telah membeli 46% daripada ekuiti Maxis daripada Telekom British dan AT&T dengan harga sebanyak AS$680 juta dan menaikkan hak miliknya menjadi 70%. Maxis ialah syarikat telefon bimbit yang terbesar di Malaysia, dengan jumlah pengguna melebihi 8 juta, dan bahagian pasaran tempatan melebihi 40% jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang bijak menganalisis dan merebut peluang perniagaan.

    Friday, 21 March 2014

    Pandangan Aku tentang Tan Sri Syed Mokhtar

    Menjadi seorang usahawan yang berjaya bukan perkara yang mudah tp, juga bukan sesuatu yang mustahil. usahawan boleh dilahirkan dan diasah untuk memupuk budaya keusahawanan dalam diri seseorang. usahawan boleh dilahirkan melalui pendidikan keusahawanan di ITPA/IPTS, warisan keluarga, genetik, pengaruh seseorang dan persekitaran. Tan Sri Syed Mokhtar satu nama yang tidak asing lagi di bumi Malaysia. Beliau merupakan seorang anak jati Kedah yang menempatkan nama dalam senarai salah seorang jutawan Malaysia yang terkaya dan berjaya. Beliau seorang yang berjiwa jitu untuk bangun dan berusaha mengubah kehidupan keluarga sejak kecil maka tidak asing pada usia yag terlalu muda sekitar 20an beliau sudah bergelar jutawan.


    Sifat keusahawanan seperti sanggup bekerja kuat dalam usaha mencapai kejayaan dalam perniagaan, beliau bersedia untuk bekerja keras dan mengorbankan masa dan tenaga dalam usaha untuk memajukan perniagaannya dengan mengatasi pelbagai cabaran dan persaingan yang wujud dalam persekitaran perniagaan. Pada usia muda, beliau mula berjinak dalam dunia perniagaan dengan mengikuti ayahnya menjual daging ke pekan sekitar Alor Setar.

    Pada tahun 1974, beliau membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau perbadanan kemajuan Bandar. Disitulah merupakan titik permulaan dengan mencipta kejayaan sebagai usahawan bumiputera. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiaan mengembangkan perniagaannya kepada komoditi seperti gula melalui Bukhary Sdn.Bdn. Kemudian, beliau menceburi perniagaan dalam sektor pembuatan dan pakaian. menarik tentang beliau, Tan Sri Syed Mokhtar seorang yang bijak dan mempunyai inisiatif yang tinggi dalam kecenderungan untuk mengenal pasti dan menganalisis sesuatu situasi dan seterusnya bijak bertindak secara proaktif iaitu bijak mencari peluang yang wujud dalam persekitaran.

    Sebagai bukti, kejayaan beliau mendapatkan kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak kementerian pertahanan dengan membekalkan kasut dan pakaian seragam yang pada mulanya beliau membeli terus daripada pengilang namun beliau mengambil keputusan menubuhkan dua buah syarikat iaitu Amtek Holding bagi pengeluaran kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat aktif dalam perniagaan perkapalan dengan menubuhkan Bukhary Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak perbendaharaan. Bukhary Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE.

    Penglibatan dalam projek penswastaan juga tidak ketinggalan, projek penswastaan Johor Port Sdn.Bhd dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd, melalui Johor Port Sdn.Bhd beliau menjayakan projek pelabuhan Tanjung Pelepas. kini Tanjung Pelepas semakin maju sehingga beliau berjaya menyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan  Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari pelabuhan singapura ke pelabuhan Tanjung Pelepas. Tidak ketinggalan, beliau juga terlibat aktif dalam korporat sosial dengan menubuhkan Yayasan Al Bukhary yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.