Tuesday, 25 March 2014

MENARIK tentang ANANDA KRISHNAN


       Tatparanandam Ananda Krishnan dilahirkan di Brickfields, KL pada 1hb April, 1938. Beliau merupakan bekas pelajar Harvard Universiti dalam jurusan MBA. Beliau merupakan salah satu calon top 3 jutawan Malaysia. Boleh dikatakan, setiap yang bergelar jutawan pasti terlibat aktif dalam dunia perniagaan. Maka tidak dapat dinafikan bahawa 9/10 rezeki terdapat dalam perniagaan.
 
Kebijasanaan beliau mengurus pelbagai perniagaan telah membuka minda anak muda untuk menceburi dunia perniagaan hari ini. Seorang tokoh yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan diri sebagai seorang usahawan dan mempunyai cita-cita untuk berjaya. Ananda Krishnan memiliki kemahiran pengurusan yang baik dalam mengurus perniagaan beliau, Sifat kepimpinan yang terdapat dalam diri usahawan ini selari dengan matlamat dan visi perniagaannya. Ini adalah kerana sifat kepimpinan merupakan satu sifat yang amat penting bagi perkembangan sesebuah perniagaan antara bukti perniagaan besar beliau dikendalikan oleh kumpulan professional yang terdiri daripada mereka yang berkaliber dan hebat. selain itu, beliau juga menjalinkan hubungan yang baik dengan beberapa tokoh dan orang yang berpengaruh dalam negara antaranya Tan Sri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi atas kebolehan untuk mencapai kejayaan. Kecenderungan ini membuatkan beliau sentiasa bersikap otimistik terhadap kejayaan yang akan beliau kecapi dan sikap ini berdasarkan kepada keadaan sebenar. Dengan mempunyai keyakinan dan optimistik yang tinggi, tidak hairanlah usahawan ini pernah gagal berkali-kali tetapi bangkit akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya di Malaysia dan pernah tersenarai orang paling kaya di dunia dengan menduduki tempat ke 147 pada tahun 2006.


Kreatif dan inovatif adalah perkara utama yang perlu ada pada setiap usahawan untuk memperolehi kelebihan persaingan di dalam pelaburan. Melalui fikiran yang kreatif, inovatif dan daya imaginasi, beliau boleh menghasilkan keuntungan yang lumayan. Beliau
bijak dalam mencari peluang yang ada dan mempunyai kebolehan untuk meraih peluang tersebut.
 
Beliau terlibat dalam banyak perniagaan dan memiliki syer pasaran hampir sebahagian bahkan lebih dari 50%. Pada awal 1990-an, Ananda memulakan sebuah empayar multimedia yang kini termasuk maxis, sistem rangkaian siaran Measat dengan hak milik sebanyak 91% dan 100% bagi perniagaan Binariang Satellites Sistem Sdn Bhd. Ananda Krishnan telah membeli 46% daripada ekuiti Maxis daripada Telekom British dan AT&T dengan harga sebanyak AS$680 juta dan menaikkan hak miliknya menjadi 70%. Maxis ialah syarikat telefon bimbit yang terbesar di Malaysia, dengan jumlah pengguna melebihi 8 juta, dan bahagian pasaran tempatan melebihi 40% jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang bijak menganalisis dan merebut peluang perniagaan.

Friday, 21 March 2014

Pandangan Aku tentang Tan Sri Syed Mokhtar

Menjadi seorang usahawan yang berjaya bukan perkara yang mudah tp, juga bukan sesuatu yang mustahil. usahawan boleh dilahirkan dan diasah untuk memupuk budaya keusahawanan dalam diri seseorang. usahawan boleh dilahirkan melalui pendidikan keusahawanan di ITPA/IPTS, warisan keluarga, genetik, pengaruh seseorang dan persekitaran. Tan Sri Syed Mokhtar satu nama yang tidak asing lagi di bumi Malaysia. Beliau merupakan seorang anak jati Kedah yang menempatkan nama dalam senarai salah seorang jutawan Malaysia yang terkaya dan berjaya. Beliau seorang yang berjiwa jitu untuk bangun dan berusaha mengubah kehidupan keluarga sejak kecil maka tidak asing pada usia yag terlalu muda sekitar 20an beliau sudah bergelar jutawan.


Sifat keusahawanan seperti sanggup bekerja kuat dalam usaha mencapai kejayaan dalam perniagaan, beliau bersedia untuk bekerja keras dan mengorbankan masa dan tenaga dalam usaha untuk memajukan perniagaannya dengan mengatasi pelbagai cabaran dan persaingan yang wujud dalam persekitaran perniagaan. Pada usia muda, beliau mula berjinak dalam dunia perniagaan dengan mengikuti ayahnya menjual daging ke pekan sekitar Alor Setar.

Pada tahun 1974, beliau membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau perbadanan kemajuan Bandar. Disitulah merupakan titik permulaan dengan mencipta kejayaan sebagai usahawan bumiputera. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiaan mengembangkan perniagaannya kepada komoditi seperti gula melalui Bukhary Sdn.Bdn. Kemudian, beliau menceburi perniagaan dalam sektor pembuatan dan pakaian. menarik tentang beliau, Tan Sri Syed Mokhtar seorang yang bijak dan mempunyai inisiatif yang tinggi dalam kecenderungan untuk mengenal pasti dan menganalisis sesuatu situasi dan seterusnya bijak bertindak secara proaktif iaitu bijak mencari peluang yang wujud dalam persekitaran.

Sebagai bukti, kejayaan beliau mendapatkan kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak kementerian pertahanan dengan membekalkan kasut dan pakaian seragam yang pada mulanya beliau membeli terus daripada pengilang namun beliau mengambil keputusan menubuhkan dua buah syarikat iaitu Amtek Holding bagi pengeluaran kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat aktif dalam perniagaan perkapalan dengan menubuhkan Bukhary Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak perbendaharaan. Bukhary Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE.

Penglibatan dalam projek penswastaan juga tidak ketinggalan, projek penswastaan Johor Port Sdn.Bhd dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd, melalui Johor Port Sdn.Bhd beliau menjayakan projek pelabuhan Tanjung Pelepas. kini Tanjung Pelepas semakin maju sehingga beliau berjaya menyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan  Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari pelabuhan singapura ke pelabuhan Tanjung Pelepas. Tidak ketinggalan, beliau juga terlibat aktif dalam korporat sosial dengan menubuhkan Yayasan Al Bukhary yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.

Monday, 10 March 2014

TAN SRI SYED MOKHTAR

 

       Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951, berasal dari Hadhramaut, Yemen. Beliau memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Antara sekolah beliau ialah Sekolah Saint Micheal's. mengagumkan tentang beliau sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi serta dorongan daripada bapa beliau.
 
Beliau mula mengembangkan perniagaan  komoditi, iaitu gula melalui Bukhary Sdn. Bhd. Tan Sri Syed Mokhtar juga diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat,tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan dan gudang senjata serta generasi kejuruteraan dan kuasa, beliau adalah seorang tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup, tetapi kerja keras’.  
 
Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. beliau berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak kepada beberapa pihak antaranya FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Perniagaan terus berkembang

Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.

Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.

Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi. Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Perniagaan pakaian

Ekoran daripada kejayaan dalam perniagaan sebelumnya, beliau terus mengembangakn perniagaan dalam sektor pembuatan dengan  mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.

Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan perkapalan

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta - USD600,000).

Penglibatan dalam projek penswastaan

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Kepentingan

Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.

Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan। Manakala 18।7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.
Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary

Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban. Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary

Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta। Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.Sumbangan dalam bidang pendidikan

Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7।75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.
 
Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah। Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

 

Saturday, 8 March 2014

TATPARANANDAM ANANDA KRISHNAN

Tatparanandam Ananda Krishnan
 
       Beliau dilahirkan di Brickfields, KL pada 1hb April, 1938. Beliau merupakan bekas pelajar Harvard University dalam jurusan MBA. Sekolah awalnya adalah di Sekolah Tamil Vivekananda, Brickfields. Ananda mula terlibat dalam kegiatan perdagangan minyak dengan menggunakan syarikatnya MAI Holding Sdn Bhd. Dari situ dia terbang tinggi sehingga menjadi Tycoon dalam media, telekomunikasi dan jana tenaga. Syarikat utamanya di Bursa Saham adalah, Astro, Maxis dan Bumi Armada. Ketiga-tiganya mencecah nilai pasaran RM81.48 Billion. Ananda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Ven Ajahn Siripanyo, seorang sami buddha di Thailand. Kesemua perniagaannya dikendalikan oleh kumpulan profesional yang terdiri dari mereka yang berkaliber dan hebat. Kemungkinan besar merekalah yang akan mengambil alih sebagai peneraju empayar Ananda Krishnan selepas ini. Calon yang menjadi sebutan ialah Brahmal Vasudevan.
 
 
Pada tahun 1985, bersama Bob Geldof dari Britain, Ananda Krishnan menjadi penaja konsert Band Aid yang sulung dan yang memainkan peranan penting dalam pengenalan Live Aid ke Asia Beliau tidak suka menonjolkan diri dan sentiasa memeliharakan profil yang rendah, akan tetapi kegiatan-kegiatan perniagaannya yang amat berjaya selalu menyebabkannya menjadi perhatian ramai.
 
 
Masa Muda Ananda Krishnan
Dilahirkan di Brickfields yang merupakan “India Kecil” kepada Kuala Lumpur, Ananda ialah anak kepada sebuah keluarga Tamil daripada Sri Lanka. Sewaktu kecil, beliau seorang kanak-kanak gagap.
 
 
Ananda belajar di Sekolah Tamil Vivekananda di Kuala Lumpur dan kemudiannya di Institusi Victoria, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Mudanya (Kepujian)daripada Universiti Melbourne, Australia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada tahun 1964. Ananda Krishnan pernah berkahwin dengan seorang puteri Thailand sewaktu muda lagi.


Kerjaya Ananda Krishnan
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, iaitu tempat asalnya, latar belakang Ananda sebelum tahun 1992 merupakan satu misteri. Banyak cerita mengenai kejayaannya. Usaha Ananda Krishnan yang sulung adalah dalam bidang perdagangan minyak. Sebelum 1992, Ananda merupakan seorang pembuat tawaran perniagaan dalam urus niaga minyak mentah yang mempunyai hubungan rapat dengan golongan pemimpin negara dan pegawai korporat industri petroleum di Asia.

 
Pada masa Tengku Razaleigh Hamzah berada di kemuncak kekuasaannya sebagai Menteri Kewangan Malaysia, Anandalah yang merupakan rakan yang sentiasa menghadiri perjumpaan-perjumpaan, baik sosial mahupun rasmi, bersama-samanya. Dan apabila Tengku Razaleigh terlibat dalam perunding-perundingan yang penting, Anandalah yang menjadi orang perantaraan. Tengku Razaleigh adalah yang memperkenalkan Ananda Krishnan kepada Dr Mahathir dalam tahun 1970-an. Tetapi Ananda sendiri yang telah berusaha memupuk perhubungan beliau dengan Dr Mahathir


Pada akhir tahun 1991, Ananda telah mengambil alih Industri Lumba Kuda Malaysia yang terletaknya di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang merupakan kawasan harta tanah yang termahal di Malaysia (dahulunya Padang Lumba Kuda Selangor).

 
Beliau juga meraih keuntungan daripada dasar penswastaan Malaysia. Pada tahun 1993, sebuah syarikat yang dikuasai Ananda Krishnan telah mengambil alih satu pertiga ekuiti dalam syarikat Powertek. Adalah Ananda yang meyakinkan Dr Mahathir terhadap pembinaan Menara Berkembar Petronas yang kini merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia, dan yang dimilik sebahagiannya oleh beliau.
 
 
 
Empayar Multimedia Ananda Krishnan

Pada awal 1990-an, Ananda memulakan sebuah empayar multimedia yang kini termasuk

  • Maxis Communications Berhad (Maxis)
  • Sistem Rangkaian Siaran Measat (MEASAT Broadcast Network Systems) – hak milik sebanyak 91%
  • Astro All Asia Networks Plc
  • Binariang Satellites Systems Sdn Bhd (hak milik hampir 100%)
  • Bumi Armada Berhad
  • Objektif Bersatu Sdn Berhad – hak milik sebanyak 49%
  • Celestial Pictures Ltd yang berasas di Hong Kong – hak milik sebanyak 100%


Ananda Krishnan membeli 46% daripada ekuiti Maxis daripada Telekom British dan AT&T dengan harga sebanyak AS$680 juta dan menaikkan hak miliknya menjadi 70%. Maxis ialah syarikat telefon bimbit yang terbesar di Malaysia, dengan jumlah pengguna melebihi 8 juta, dan bahagian pasaran tempatan melebihi 40%.


 
Ananda juga merupakan ketua Astro All Asia Networks Plc yang merupakan rangkaian televisyen berbayar yang sulung di Malaysia. Beliau juga mempunyai rangkaian pawagam multipleks yang memegang lebih daripada 800 judul filem, serta memiliki sebahagian daripada TVB.com (cabang interaktif kepada penyiar utama di Hong Kong) dan arkib filem Shaw Brothers.

 
Pada tahun 1996, Ananda Krishnan melancarkan satelit perhubungan Malaysia yang sulung, berikut kemudian dengan satelit yang kedua, melalui syarikatnya Binariang Satellites Systems Sdn Bhd. Bagaimanapun, kegawatan ekonomi yang melanda negara-negara Asia Tenggara mengurangkan keuntungan syarikat itu dan memaksanya memberhentikan sejumlah pekerja-pekerja dan menangguhkan beberapa projek multimedianya.

 


 

Saturday, 1 March 2014

IRFAN KHAIRI

IRFAN KHAIRI
 
Keratan dari Berita Harian: Irfan Khairi cetus revolusi perniagaan Internet
 
 
" Jika mahu berniaga, tidak perlu tunggu hingga dapat sarjana pengurusan perniagaan baru hendak mulakan perniagaan, malah semasa pengajian boleh mula kumpul pengalaman dengan berniaga secara kecil-kecilan dikalangan rakan ".

" Ilmu perniagaan juga tidak kurang pentingnya, sebab itu saya bekerja sebagai tukang cuci selama 2 jam setiap hari dengan upah kira-kira RM7 mengikut kadar pertukaran wang sekitar 1997-1998 bagi membeli buku dan menghadiri bengkel ". – katanya
 
        Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada usia muda menjadi impian setiap insan. Pierre Omidyar, pengasas laman lelongan menerusi internet yang lebih dikenali sebagai eBay menjadi jutawan pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun. Berikutan kejayaan Omidyar, mendorong anak muda tempatan lulusan ijazah Sarjana Muda Reka Cipta Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom [UK], Irfan Khairi, menceburi perniagaan sendiri di Internet.
 
       Pemuda kelahiran Perak, tetapi dibesarkan di Selangor dan sekarang menetap di Seremban ini mengaplikasikan sepenuhnya pengetahuan Internet dan Multimedia yang dipelajarinya untuk menjadi jutawan muda seawal umur 25 tahun. Tidak ada siapa yang menduga, anak muda yang agak pemalu dan sentiasa merendah diri ketika di bangku sekolah itu berjaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan tokoh jutawan Internet yang lain.
 
       Menyoroti sejarah sebelum memegang status itu, Irfan setelah habis pengajian ijazah pertamanya menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat teknologi maklumat [IT] terbesar di Birmingham iaitu Netmedia [UK] Ltd. Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding Internet, beliau bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid. Sekarang lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan sistem tersebut.
 
      Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan Internet secara sambilan pada 1999. Selepas mendapati pendapatan daripada perniagaan Internet miliknya itu bertambah berlipat kali ganda, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan tersebut.
 
      Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan komputer riba dan Internet. Dalam masa tiga tahun beroperasi, salah satu perniagaannya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM 1 juta tanpa pekerja dan peralatan komputer canggih. Modal permulaannya hanya RM500. Ditanya sejak bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan seperti ini, Irfan dengan senyum yang tidak pernah lekang dari bibirnya menjawab, 'Ketika berusia 18 tahun ''Selepas Sijil Pelajaran Malaysia, saya mula memikirkan masa depan perniagaan ini. Saya berminat menceburinya setelah mendapat banyak sumber inspirasi melalui buku tentang kejayaan orang lain yang saya baca,' Katanya.
 
       Kejayaan yang dimilikinya itu, menurut bapa kepada dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh dan terancang. 'Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini,'Katanya. Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu. 'Saya dapati mereka berjaya kerana melakukan perkara yang disukai,'katanya.
 
      Meminati Bill Gates yang dianggap sebagai idolanya, beliau menyatakan kekagumannya terhadap manusia paling kaya di dunia itu. 'Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan oleh beliau. Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun beliau orang yang terkaya di dunia, tetapi masih tetap merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti beliau. ''Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang diminatinya iaitu pengaturcaraan [programming], Beliau menjadi kaya sebab buat perkara yang diminatinya. Saya juga selalu sarankan kepada peserta bengkel kendalian saya supaya buat perkara yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa-apa pun boleh tetapi yang paling panting, kita minat,' jelas beliau.
 
       Ditanya tentang kelebihan perniagaan Internet, Irfan berkata, 'Kemudahan Internet sebenarnya memberikan potensi cukup luas dalam memperluas perniagaan dan kita boleh berniaga apa-apa sahaja di luar sana. Jenis perniagaan itu pula bebas asalkan mendapat permintaan. Menurut Irfan lagi perniagaan itu sesuai diceburi oleh siswazah menganggur kerana mereka mempunyaai pelbagai kepakaran bidang yang boleh diniagakan menerusi internet, asalkan mereka celik IT, mempunyaai peralatan komputer, dan kemudahan Internet.
 
       'Perkara yang penting ialah kesungguhan dan yakin terhadap potensi diri untuk menjadi yang terbaik dan peluang menjadi jutawan sebenarnya terbuka luas untuk semua orang, ' tambah beliau. Perniagaan Internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, UK,negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.
 
       Antara perniagaannya yang berjaya termasuk mereka cipta E-book, mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO [Searca Engine Optimization ], Menjual peta, penempahan hotel, perunding multimedia, E-Niaga, dan e-pembelajaran. Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya malah menulis buku berjudul, Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan perniagaan Internet.