Monday, 14 April 2014

7 ciri cemerlang orang positif

7 Ciri Cemerlang Orang Positif
Oleh Taidin Suhaimin

Artikel motivasi ini memaparkan ciri-ciri, sikap-sikap dan sifat-sifat atau jati diri cemerlang orang-orang (pemimpin / usahawan) yang positif / berjaya.


1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dalam kegawatan!
 
3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

Sesuai dengan kata-kata nasihat Paul Getty, seorang bilionaire Amerika bahawa untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, seseorang itu hendaklah membuat dua perkara ini:
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN! - Penjelasan  
4. Tidak Menyalahkan Keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangannya itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.
 
5. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bahawa, bila orang mengecam, tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.
 
6. Sentiasa Mencari Jalan Memperbaiki Diri
Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini mungkin hanya dinilai sebagai sederhana saja 10 tahun akan datang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya / kebajikan rakyatnya.

Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan Amerika Syarikat ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia."
7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus asa.
Orang yang positif memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan.

 

    No comments:

    Post a Comment